Tuesday, April 5, 2005

Sejarah Sekolah



Sekolah Kebangsaan Kampong Banting ditubuhkan dalam lingkungan tahun 1955. Pada masa itu hanya sebuah bangunan papan dua bilik yang beratapkan atap rumbia dan sebuah kantin bagi menampung pembelajaran Kurikulum Lama Sekolah Rendah murid-murid disekitar kampung ini. Disamping itu terpaksa pula meminjam bangunan Sekolah Agama Rendah yang berdekatan bagi menampung kekurangan kelas.
Beberapa tahun kemudian bangunan sekolah telah diperbaharui dan ditambah menjadi dua blok bangunan enam bilik darjah. Bangunan ini telah dirasmikan oleh Yang Berhormat Menteri Pelajaran Malaysia pada masa itu, iaitu Yang Berhormat Mohd Khir Johari pada tahun 1968.
Akibat dari proses penambahan murid dan keperluan pada suasana pembelajaran baru dalam sistem Kurikulum Baru Sekolah Rendah (KBSR) Kementerian Pendidikan Malaysia telah meluluskan peruntukan tambahan RM50,000.00 untuk membiayai pembinaan bangunan baru empat bilik darjah melalui projek gotong-royong serta tambahan RM 10,000.00 untuk pembinaan padang bersimen dan sambungan koridor (gajah menyusur) dari bangunan B ke bangunan C dan terus ke kantin sekolah. Kedua-dua projek ini telah siap dilaksanakan pada Disember 1986. Pada tahun 1993 satu projek bangunan tambahan empat bilik darjah dan satu tandas guru telah siap dibina oleh pihak Kementerian Pendidikan dan mula digunakan pada awal tahun 1994.
Di dalam sejarah sekolah, sekolah ini telah ditadbir oleh beberapa orang Guru Besar diantaranya ialah Allahyarham Encik Abdul Manan Omar, Encik Abdul Hamid Johari, Allahyarham Encik Abdullah Abdul Ghani, Allahyarham Encik Abdul Wahab Haji Daud, Tuan Haji Ariffin Hassan, Encik Abdul Manan Simpul, Encik Mohd Nor Haji Ismail, Encik Abdul Rahman Haji Tahir, Encik Abdul Samad Idris, Encik Md Nasir Ibrahim, Hajjah Nor Gayah Jaafar, Hajjah Siti Dalalah Mahmuddin, Allahyarham Tuan Haji Mohd Yusof Osman dan yang terkini ditadbir oleh Encik Idris bin Ali.
Dari segi pencapaian akademik, sekolah ini telah menjadi tapak asas dalam melahirkan ramai pelajar di kampung yang telah berjaya menimba ilmu ke peringkat yang lebih tinggi hingga ke luar negara. Ramai murid-murid dari sekolah ini yang berjaya menyambung pelajaran menengah berasrama penuh, sekolah menengah sains dan Maktab Rendah Sains Mara.
Semoga dengan adanya perancangan Kurikulum yang tersusun dan sempurna dapat meneruskan tradisi kesinambungan ini di dalam melahirkan murid-murid yang bijak, insan yang kamil, serta menjadi warganegara yang sempurna kepada negara kita kelak.
InsyaAllah................

No comments:

Wikipedia

Search results